BAGAIMANA INTEGRASI TEKNOLOGI DAPAT MEMBANTU PROGRAM PEMBESTARIAN SEKOLAH
Integrasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di sekolah hari ini amatlah penting. Teknologi telekomunikasi dan multimedia pada masa kini digunakan secara global dan revolusi ini telah meresap ke semua sektor dalam kehidupan masyarakat. Untuk mengharungi cabaran ini serta mencapai matlamat Lebuhraya Multimedia (MSC) dan Wawasan 2020, inisiatif untuk mengintegrasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran adalah tepat pada masanya. Teknologi bersepadu terkini mempunyai kelebihan menggabungkan visual realistik dengan teks dan suara dan berupaya membenarkan pelajar menggunakannya dalam apa juga cara. Melalui integrasi ICT beberapa perubahan dan pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Antaranya ialah perubahan fokus daripada pengajaran berpusatkan guru kepada pengajaran berpusatkan pelajar. Dalam hal ini pelajar menjadi fokus kepada aktiviti pembelajaran yang berorientasikan kepada proses penerokaan dan penemuan berdasarkan kepada teori konstruktivisme
Pengenalan kepada ICT telah membawa kepada sikap yang positif di kalangan pelajar. Ini kerana ICT menyediakan peluang yang luas dalam aktiviti pembelajaran berbanding dengan kaedah tradisional . Melalui penggunaan internet pelajar boleh menimba ilmu pengetahuan serta contoh-contoh yang praktikal. Kemudahan hipermedia dan multimedia telah memudahkan pendekatan dan kaedah belajar yang tidak mungkin dapat dilaksanakan sekiranya menggunakan kaedah tradisional.
ICT menyediakan kaedah dengan memberi penekanan kepada penciptaan dan penerokaan ilmu secara aktif selain daripada menerima ilmu secara sehala sahaja. Integrasi teknologi dalam P&P memerlukan guru yang bersedia dan fleksibel dalam menggunakan teknologi dalam kaedah pengajaran harian dengan mata pelajaran yang diajar. Mempelajari bagaimana menggunakan komputer belum mencukupi untuk membolehkan guru menggabungkan teknologi dalam P&P. Elemen yang penting dalam mengintegrasi teknologi ialah pemahaman guru terhadap isi pengajaran dan implikasi berhubung dengan teknologi.
Integrasi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran perlu dilihat dari perspektif yang lebih luas iaitu menggunakan ICT secara berfikrah, terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan dalam P&P. Dalam keadaan ini terdapat peranan ICT dari segi meningkatkan mutu dan mempelbagaikan penyampaian dan pengajaran melalui penggunaan internet, bahan-bahan multimedia disamping bahan pengajaran yang sedia ada. Bahan-bahan multimedia interaktif dibangunkan dengan dengan menggunakan bahan visual grafik, teks, muzik, video serta animasi yang membantu mengukuhkan lagi kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep. Integrasi ICT dalam P&P merupakan perkara yang penting dan memerlukan sokongan serta usaha yang bersungguh-sungguh di antara pemimpin sekolah, guru, pelajar dan semua pihak. Sekolah tidak ada pilihan lain melainkan menerima perubahan dan fenomena ICT serta guru-guru perlu cepat menguasai ilmu dan ketrampilan ICT untuk diterapkan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Untuk itu penglibatan pemimpin sekolah dalam membina polisi, pelan pembangunan ICT dan sokongan terhadap program pembangunan staf adalah menjadi teras utama. Sokongan dan sumbangan pihak luar harus dilihat sebagai satu peluang untuk memantapkan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment